Tuesday 20 December 2011

Usia...40

Sehari lagi...Saya menempuh kegenapan usia 40 tahun. Anehnya detik usia kali ini menyebabkan rasa syahdu yang tidak terucap. Berbanding ketika genap 20 tahun, saya merasa sangat gembira. Gembira yang entah apa-apa sebenarnya. Genap 30 pula saya bergelut dengan rasa gentar dengan ketuaan. Saya mengeluh-ngeluh. Tidak rela meninggalkan status 20'an. Saya mengira tahun demi tahun saya sedang 'dewasa'.  Hingga akhirnya saya terlupa status 30'an yang sedang tersandang. Saya 'tidak apa-apa' pun dan usia hanyalah sekadar suatu angka...wah saya lega.

Namun Allah Yang Maha Mengetahui apa yang ada disanubari. Saya dikirim sedikit ujian pada usia 35 tahun. Ujian yang menguji kesempurnaan iman. Saya bagaikan tersedar dari mimpi. Siapa aku...kemana nak pergi? Jawapan yang ditagih dari jiwa sendiri membinggungkan...saya memberitahu suami keanehan perasaan ini. Kami berbincang ketat. Solusinya, saya akan mengembara seketika. Pengembaraan spiritual itu akan dibuat sebelum menjelangnya angka 40. Alhamdulilah, syukur kepada Allah kerana melapangkan masa, usia dan tenaga. Saya kini akan masuk ke fasa 'sebenar' apa yang dikatakan usia...


Esok saya akan menemui mak dan mengucup tangannya. Dengan izin suami, saya mahu berdekatan dengan mereka yang menzahirkan saya ke dunia. Mak yang masih ada dan sedang dimamah usia, ayah...walau sudah dipanggil Ilahi, namun ada pusara tempat jasadnya bersemadi. Tiada lagi yang mahu dikatakan kecuali saya mahu pulang ke sisi mereka.