Friday 25 May 2012


Penyu Menangis Siapa lah Tahu...

Anak muda berlagu sayang
di Bukit Remis melepas rindu
adik ketawa di Rantau Abang
penyu menangis siapalah tahu


sesak nafasnya sesak
tak tahu adik tak tahu
sebak dadanya sebak
tak tahu adik tak tahu
bengkak jantungnya bengkak
tak tahu adik tak tahu


retak hatinya retak
tak tahu adik tak tahu


lenyap ditelan derauan ombak
telur penawar hatinya lebur
tumpah air matanya melimpah-ruah
agar terhibur adik terhibur



Puisi: JM Aziz
Nyanyian: Sudirman Haji Arshad


Monday 14 May 2012




Mengenang...antara perkara yang saya lakukan bila bersendiri. Antara waktu 'mengenang' yang paling syahdu adalah ketika rintik hujan. Pemandangan 'dingin' di sebalik dinding berkabus dan basah menghadirkan banyak getaran(jiwa). Ketika kawan-kawan sibuk mengirimkan ucapan Selamat Hari Ibu yang tidak saya raikan, pandangan tembus ke zaman anak-anak kandungan saya yang terawal ketika kecil mereka.   Semasa memikul tanggungjawab sebagai ibu yang masih muda belia, tanpa sokongan daripada sanak-saudara atau ibubapa yang jauh di kampung halaman. Saya kerap kali gagal mengisi lompang yang wujud dalam memenuhi tanggungjawab kepada mereka.
Dalam rahmat yang turun bersama rintik ini saya berdoa, mengharap keampunan tuhan. Supaya diberi peluang untuk membaiki diri dan keimanan. Supaya saya ikhlas duduk di sini menguruskan anak yang masih diribaan, SEPENUH MASA. Juga diberi peluang kedua untuk memerhatikan anak bujang teruna saya dan mengatakan kepadanya, maafkan umi. Satu masa,  kesibukan ibu ini mengejar fatamorgana telah memakan perasaanya. Memberi perasaan bersendirian kepadanya. Selagi masih ada ruang masa dan hayat, insha-Allah kita mampu mencipta kenangan baru untuk di kenang pada masa hadapan. 



Friday 11 May 2012


Asam boi@asam masin...saya tidak tahu nama yang tepat. Di dalamnya buah asam berwarna merah dan bersalut gula. Kecapan masam, manis dan masin akan bersilih rasa. Sesiapa yang merasanya akan terleka seketika. Ketika awal kehamilan, saya hidup berteman 'barang ajaib' ini. Dalam resah badan, mual dan loya, asam ini menghayalkan saya dengan bauran rasanya.
Malam tadi, anak bujang saya, Wan menjenguk ke rumah. Dalam kesibukan adik-adiknya membuka coklat dan air berkarbonat yang teruna ini bawa, saya terperasan ada dua bungkusan kecil yang lama benar tidak saya nampak atau teringin merasanya. "Untuk umi...". Saya menyambut dengan wajah tertanya-tanya...Sofea yang bongsu menyampuk, " hadiah hari ibu..?". "Ooohh Wan tak sambut hari ibu, tak tahu pun. Semalam ada status yang tidak menyenangkan. Wan baca di wall umi".
Ohh... nikmat Allah yang manakah hendak saya nafikan. Tautan rasa anak kandungan ini bertalian dengan pengharapan saya hendak meluah perasaan kepadanya. Anak sulung ini peka dengan resah ibunya dan kenangan ketika kecil melihat ibu terleka menikmati asam boi ini memberi ilham kepada dia menghantarnya ke sini. Ketika menyisip asam ini ke lidah saya berusaha mengingat macam mana reaksi saya ketika makan asam ini(kali terakhir lapan tahun lepas). Dan...ok umi aman :)). Anak yang  pulang itu membawa pergi segala resah hati saya. Apalah dugaan akibat orang di luar rumah, sedang orang di rumah sentiasa mengambil berat dan menyanyangi saya. Alhamdulilah. Terima kasih asam boi.

Thursday 10 May 2012



KOTAK cantik ini mahu saya isi dengan kenangan. Kenangan tentang perhubungan tulus dalam persaudaraan. Kenangan tentang manisnya duduk tertawa riang sesama adik-beradik di pangkuan ayah bonda. Ketika hanya mampu memandang alam maya yang sentiasa menggembirakan kami. Tanpa laman sosial, tanpa cafe late atau pai epal. Kami bahagia dan memandang antara kami dengan pandangan yang saling menyanyangi seolah nyawa pun mahu bersatu.

Kini, masa berubah. Perasaan kami juga sudah dipengaruhi oleh sekitar yang dihuni. Perbezaan nilai akal dan budi melenyapkan ketulusan hati. Selamat tinggal kenangan. Di dalam kotak cantik ini ia bersemadi. Kuncinya tiada pendua dan sudah saya simpan di tempat yang saya tidak tahu, Jika ada yang bertanya, saya hanya mahu memberitahu isinya KENANGAN. Ditelan mabuk, dibuang sayang.