Wednesday 17 August 2011

Kembara Spiritualku...

AKHIRNYA, Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya. 
   Beberapa kali sudah tertangguh sehinggakan suatu ketika `sekeliling'(anak-anak dan ibu di kampung) kelihatan `menarik nafas lega'  saya tidak akan meninggalkan mereka untuk bermusafir ke negeri yang jauh itu.
   Suatu petang yang bermakna, saya mengirim pesanan ringkas kepada suami tentang rindu yang terpendam. Rasa yang semakin berbaur resah. Memohon lafaz keizinan untuk isterinya 'bercuti' seketika mencari Cinta-Nya. Alhamdulillahi rabbil alamin...seketika itu suami menelefon kembali dan memberi keizinan tanpa soalan.
     Khabar gembira juga daripada pihak Andalusia Travel bila saya merisik khabar di petang itu juga bahawa ada kekosongan pada 26hb Julai - 8hb Ogos, 2011. Cuma sedikit risau bila mencongak tarikh, didapati tempoh saya berada di Tanah Haram adalah menjangkau permulaan bulan Ramadan. Ermmm...kesian pada suami dan anak-anak. Hati isteri dan ibu ini sedikit tergugat, siapa nak masak? Bagaimana abah mereka nanti hendak melayan anak-anak kala bersahur...

Perasaan kembali mendatar. Tertangguh lagikah...Maha Mengetahui Ya Allah, tunjukkanlah hambamu jalan yang benar. Saya menangis dan berdoa dalam hati. Bersungguh-sungguh.
          Betapa Allah Maha Mendengar, Betapa Allah Maha Mengasihani. Malam itu suami memberitahu, pergilah. Dia akan bercuti panjang dan menjaga anak-anak sepanjang saya tiada. Tiada kata-kata, hanya mampu berdoa...Ya Allah, berkatilah suamiku, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihani ku.

No comments:

Post a Comment