Wednesday 17 August 2011

PENERBANGAN selama lapan jam, KLIA - JEDDAH.
    Dari airport, kami langsung menaiki bas ke Terminal Haji yang situasinya tidak nyaman sebagaimana jangkaan awal saya.
    Di sini ketahanan jiwa mula teruji. Jemaah wanita lain yang 'berteman mahram' kelihatan selesa menunggu bagasi diangkut ke bas dan meneguk air mineral dingin.
    Sedang saya terkial-kial mencari@mengheret bagasi sambil menahan dahaga(takut tertinggal jika merayau mencari kedai serbaneka yang jauh ke dalam terminal untuk membeli sebotol air).
    Jemaah yang datang bersama keluarga kelihatan menikmati perjalanan dengan bersembang santai sesama mereka sedang saya berdiri dengan resah sambil mengerling air dingin yang dipegang anak-anak mereka. Owwhh...dahaganya.
    Setelah mengambil tempat dalam bas saya kira keletihan ini akan segera berakhir. Namun tidak terduga kembara ini berlanjutan sekitar lapan jam lagi menuju Madinah.
    Dipandu oleh mutawif bertugas, kami singgah solat Magrib dan makan malam. Alhamdulilah, saya lega akhirnya dapat solat, makan dan minum juga ke tandas.
    Manusia jarang bersyukur, itulah yang dapat saya sifatkan diri saya ketika itu. Disambut suasana berdebu, panas dan tandas yang sangat tidak terjaga kebersihannya membuat saya hilang arah dalam kembara jiwa ini.
    Apapun, saya mengagahkan diri bersolat seadanya. Walaupun lapar, saya enggan makan. Cuma minum dalam kadar seteguk dua kerana saya tidak dapat menggunakan tandas yang 'punah'. Ikhtiar yang ada ialah mematikan diri di kerusi dan berharap situasi selesa akan menjelma.
   Namun diri masih teruji. Sepanjang perjalanan saya(dan jemaah lain juga saya kira) tidak dapat melelapkan mata kerana bayi dan kanak-kanak yang turut serta dalam rombongan menangis dan merengek sepanjang perjalanan.
    Subhanallah, meski dalam perjalanan mencari reda Allah, saya gagal mengawal emosi. Saya rasa hendak menjerit geram dan jika ada peluang untuk berpatah balik, maka saya hendak pulang ke pangkuan keluarga ketika itu juga.
    Ya Wadud, Yang Mengasihi, rawatlah jiwa kami untuk terus mengasihi sesama makhluk. Akhirnya saya terlena sambil 'menderita'...(alangkah lemahnya daya ketahanan saya ketika itu, tangisan bayi pun macam ledakan bom!)





    


   

No comments:

Post a Comment