PENERBANGAN selama lapan jam, KLIA - JEDDAH.
Dari airport, kami langsung menaiki bas ke Terminal Haji yang situasinya tidak nyaman sebagaimana jangkaan awal saya.
Di sini ketahanan jiwa mula teruji. Jemaah wanita lain yang 'berteman mahram' kelihatan selesa menunggu bagasi diangkut ke bas dan meneguk air mineral dingin.
Sedang saya terkial-kial mencari@mengheret bagasi sambil menahan dahaga(takut tertinggal jika merayau mencari kedai serbaneka yang jauh ke dalam terminal untuk membeli sebotol air).
Jemaah yang datang bersama keluarga kelihatan menikmati perjalanan dengan bersembang santai sesama mereka sedang saya berdiri dengan resah sambil mengerling air dingin yang dipegang anak-anak mereka. Owwhh...dahaganya.
Setelah mengambil tempat dalam bas saya kira keletihan ini akan segera berakhir. Namun tidak terduga kembara ini berlanjutan sekitar lapan jam lagi menuju Madinah.
Dipandu oleh mutawif bertugas, kami singgah solat Magrib dan makan malam. Alhamdulilah, saya lega akhirnya dapat solat, makan dan minum juga ke tandas.
Manusia jarang bersyukur, itulah yang dapat saya sifatkan diri saya ketika itu. Disambut suasana berdebu, panas dan tandas yang sangat tidak terjaga kebersihannya membuat saya hilang arah dalam kembara jiwa ini.
Apapun, saya mengagahkan diri bersolat seadanya. Walaupun lapar, saya enggan makan. Cuma minum dalam kadar seteguk dua kerana saya tidak dapat menggunakan tandas yang 'punah'. Ikhtiar yang ada ialah mematikan diri di kerusi dan berharap situasi selesa akan menjelma.
Namun diri masih teruji. Sepanjang perjalanan saya(dan jemaah lain juga saya kira) tidak dapat melelapkan mata kerana bayi dan kanak-kanak yang turut serta dalam rombongan menangis dan merengek sepanjang perjalanan.
Subhanallah, meski dalam perjalanan mencari reda Allah, saya gagal mengawal emosi. Saya rasa hendak menjerit geram dan jika ada peluang untuk berpatah balik, maka saya hendak pulang ke pangkuan keluarga ketika itu juga.
Ya Wadud, Yang Mengasihi, rawatlah jiwa kami untuk terus mengasihi sesama makhluk. Akhirnya saya terlena sambil 'menderita'...(alangkah lemahnya daya ketahanan saya ketika itu, tangisan bayi pun macam ledakan bom!)
Wednesday, 17 August 2011
Kembara Spiritualku...
AKHIRNYA, Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya.
Beberapa kali sudah tertangguh sehinggakan suatu ketika `sekeliling'(anak-anak dan ibu di kampung) kelihatan `menarik nafas lega' saya tidak akan meninggalkan mereka untuk bermusafir ke negeri yang jauh itu.
Suatu petang yang bermakna, saya mengirim pesanan ringkas kepada suami tentang rindu yang terpendam. Rasa yang semakin berbaur resah. Memohon lafaz keizinan untuk isterinya 'bercuti' seketika mencari Cinta-Nya. Alhamdulillahi rabbil alamin...seketika itu suami menelefon kembali dan memberi keizinan tanpa soalan.
Khabar gembira juga daripada pihak Andalusia Travel bila saya merisik khabar di petang itu juga bahawa ada kekosongan pada 26hb Julai - 8hb Ogos, 2011. Cuma sedikit risau bila mencongak tarikh, didapati tempoh saya berada di Tanah Haram adalah menjangkau permulaan bulan Ramadan. Ermmm...kesian pada suami dan anak-anak. Hati isteri dan ibu ini sedikit tergugat, siapa nak masak? Bagaimana abah mereka nanti hendak melayan anak-anak kala bersahur...
Perasaan kembali mendatar. Tertangguh lagikah...Maha Mengetahui Ya Allah, tunjukkanlah hambamu jalan yang benar. Saya menangis dan berdoa dalam hati. Bersungguh-sungguh.Betapa Allah Maha Mendengar, Betapa Allah Maha Mengasihani. Malam itu suami memberitahu, pergilah. Dia akan bercuti panjang dan menjaga anak-anak sepanjang saya tiada. Tiada kata-kata, hanya mampu berdoa...Ya Allah, berkatilah suamiku, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihani ku.
RASA...
Pertama kali saya memindahkan lapangan tulisan saya ke sini. Sebelum ini saya selesa menulis diari setiap hari. Kerana saya fikir catatan hati adalah perkara yang amat peribadi. Saya sedar, anak ke tiga saya(Naqib) yang 'suka' meminjam meja kerja ini, mengikuti perkembangan diari saya(biasanya diari saya tidak dalam tersorok kerana dalam keadaan 'siap siaga' berhampiran sususan buku catatan). Ibunya ini, buat tidak tahu a.k.a reda kerana kerap saya mengambil kesempatan dengan menulis luahan hati disitu...(harapan tinggi seorang ibu dan kekecewaan, bila mereka mengabaikan rasa umminya).
Dan selepas itu adik bongsu mereka(Sofea) akan masuk dan bertanya macam-macam soalan yang seputar dengan perkara yang saya telah tuliskan. Makna kata mesej saya telah sampai kepada mereka melalui budak keding berusia 13 tahun itu. Saya menjawab soalan dengan penuh dan jelas kerana saya tahu diluar sana ada menunggu Yasmin, 11, Azeem, 14 dan Najwa, 6. Anak-anak lain yang menjadi sasaran tulisan tersebut. Biasanya bapa mereka juga tidak terkecuali (hehehhee...berkaitan dengan harapan@rasa jugak lahhhh). Cuma seorang yang tidak begitu makan saman,(abang sulung mereka) saya akan panggil secara rambang(ikut situasi, sama ada nasihat atau amaran). Anak lelaki yang satu ini tidak berapa jiwang. Dia lebih 'makan' kata-kata berbanding tulisan. Errmmm...apa-apa aje lah.
Subscribe to:
Posts (Atom)