Friday 25 May 2012


Penyu Menangis Siapa lah Tahu...

Anak muda berlagu sayang
di Bukit Remis melepas rindu
adik ketawa di Rantau Abang
penyu menangis siapalah tahu


sesak nafasnya sesak
tak tahu adik tak tahu
sebak dadanya sebak
tak tahu adik tak tahu
bengkak jantungnya bengkak
tak tahu adik tak tahu


retak hatinya retak
tak tahu adik tak tahu


lenyap ditelan derauan ombak
telur penawar hatinya lebur
tumpah air matanya melimpah-ruah
agar terhibur adik terhibur



Puisi: JM Aziz
Nyanyian: Sudirman Haji Arshad


Monday 14 May 2012




Mengenang...antara perkara yang saya lakukan bila bersendiri. Antara waktu 'mengenang' yang paling syahdu adalah ketika rintik hujan. Pemandangan 'dingin' di sebalik dinding berkabus dan basah menghadirkan banyak getaran(jiwa). Ketika kawan-kawan sibuk mengirimkan ucapan Selamat Hari Ibu yang tidak saya raikan, pandangan tembus ke zaman anak-anak kandungan saya yang terawal ketika kecil mereka.   Semasa memikul tanggungjawab sebagai ibu yang masih muda belia, tanpa sokongan daripada sanak-saudara atau ibubapa yang jauh di kampung halaman. Saya kerap kali gagal mengisi lompang yang wujud dalam memenuhi tanggungjawab kepada mereka.
Dalam rahmat yang turun bersama rintik ini saya berdoa, mengharap keampunan tuhan. Supaya diberi peluang untuk membaiki diri dan keimanan. Supaya saya ikhlas duduk di sini menguruskan anak yang masih diribaan, SEPENUH MASA. Juga diberi peluang kedua untuk memerhatikan anak bujang teruna saya dan mengatakan kepadanya, maafkan umi. Satu masa,  kesibukan ibu ini mengejar fatamorgana telah memakan perasaanya. Memberi perasaan bersendirian kepadanya. Selagi masih ada ruang masa dan hayat, insha-Allah kita mampu mencipta kenangan baru untuk di kenang pada masa hadapan. 



Friday 11 May 2012


Asam boi@asam masin...saya tidak tahu nama yang tepat. Di dalamnya buah asam berwarna merah dan bersalut gula. Kecapan masam, manis dan masin akan bersilih rasa. Sesiapa yang merasanya akan terleka seketika. Ketika awal kehamilan, saya hidup berteman 'barang ajaib' ini. Dalam resah badan, mual dan loya, asam ini menghayalkan saya dengan bauran rasanya.
Malam tadi, anak bujang saya, Wan menjenguk ke rumah. Dalam kesibukan adik-adiknya membuka coklat dan air berkarbonat yang teruna ini bawa, saya terperasan ada dua bungkusan kecil yang lama benar tidak saya nampak atau teringin merasanya. "Untuk umi...". Saya menyambut dengan wajah tertanya-tanya...Sofea yang bongsu menyampuk, " hadiah hari ibu..?". "Ooohh Wan tak sambut hari ibu, tak tahu pun. Semalam ada status yang tidak menyenangkan. Wan baca di wall umi".
Ohh... nikmat Allah yang manakah hendak saya nafikan. Tautan rasa anak kandungan ini bertalian dengan pengharapan saya hendak meluah perasaan kepadanya. Anak sulung ini peka dengan resah ibunya dan kenangan ketika kecil melihat ibu terleka menikmati asam boi ini memberi ilham kepada dia menghantarnya ke sini. Ketika menyisip asam ini ke lidah saya berusaha mengingat macam mana reaksi saya ketika makan asam ini(kali terakhir lapan tahun lepas). Dan...ok umi aman :)). Anak yang  pulang itu membawa pergi segala resah hati saya. Apalah dugaan akibat orang di luar rumah, sedang orang di rumah sentiasa mengambil berat dan menyanyangi saya. Alhamdulilah. Terima kasih asam boi.

Thursday 10 May 2012



KOTAK cantik ini mahu saya isi dengan kenangan. Kenangan tentang perhubungan tulus dalam persaudaraan. Kenangan tentang manisnya duduk tertawa riang sesama adik-beradik di pangkuan ayah bonda. Ketika hanya mampu memandang alam maya yang sentiasa menggembirakan kami. Tanpa laman sosial, tanpa cafe late atau pai epal. Kami bahagia dan memandang antara kami dengan pandangan yang saling menyanyangi seolah nyawa pun mahu bersatu.

Kini, masa berubah. Perasaan kami juga sudah dipengaruhi oleh sekitar yang dihuni. Perbezaan nilai akal dan budi melenyapkan ketulusan hati. Selamat tinggal kenangan. Di dalam kotak cantik ini ia bersemadi. Kuncinya tiada pendua dan sudah saya simpan di tempat yang saya tidak tahu, Jika ada yang bertanya, saya hanya mahu memberitahu isinya KENANGAN. Ditelan mabuk, dibuang sayang.

Tuesday 20 December 2011

Usia...40

Sehari lagi...Saya menempuh kegenapan usia 40 tahun. Anehnya detik usia kali ini menyebabkan rasa syahdu yang tidak terucap. Berbanding ketika genap 20 tahun, saya merasa sangat gembira. Gembira yang entah apa-apa sebenarnya. Genap 30 pula saya bergelut dengan rasa gentar dengan ketuaan. Saya mengeluh-ngeluh. Tidak rela meninggalkan status 20'an. Saya mengira tahun demi tahun saya sedang 'dewasa'.  Hingga akhirnya saya terlupa status 30'an yang sedang tersandang. Saya 'tidak apa-apa' pun dan usia hanyalah sekadar suatu angka...wah saya lega.

Namun Allah Yang Maha Mengetahui apa yang ada disanubari. Saya dikirim sedikit ujian pada usia 35 tahun. Ujian yang menguji kesempurnaan iman. Saya bagaikan tersedar dari mimpi. Siapa aku...kemana nak pergi? Jawapan yang ditagih dari jiwa sendiri membinggungkan...saya memberitahu suami keanehan perasaan ini. Kami berbincang ketat. Solusinya, saya akan mengembara seketika. Pengembaraan spiritual itu akan dibuat sebelum menjelangnya angka 40. Alhamdulilah, syukur kepada Allah kerana melapangkan masa, usia dan tenaga. Saya kini akan masuk ke fasa 'sebenar' apa yang dikatakan usia...


Esok saya akan menemui mak dan mengucup tangannya. Dengan izin suami, saya mahu berdekatan dengan mereka yang menzahirkan saya ke dunia. Mak yang masih ada dan sedang dimamah usia, ayah...walau sudah dipanggil Ilahi, namun ada pusara tempat jasadnya bersemadi. Tiada lagi yang mahu dikatakan kecuali saya mahu pulang ke sisi mereka.

Wednesday 17 August 2011

Kita Meminta Yang dimahukan, Allah Memberi Apa yang Perlu...

                                                                                              Saya, kak Noraini Chee dan kak Izan.                        
    ALHAMDULILAHI RABBIL ALAMIN, saya lega dan bersyukur kerana bertemu kak Izan yang telah berpengalaman mengerjakan ibadah haji sebelum ini. Bukan tidak gembira dengan dua lagi rakan sebilik iaitu kak Ani(Chee) dan kak Ju tetapi mereka juga mengaku perlukan orang seperti kak hajah ini.

    Daripada kak Izan ini saya banyak belajar tentang kepentingan solat-solat sunat selain fardhu. Lega sangat-sangat, sehinggakan saya sentiasa senyum padanya walaupun ketika dia sedang mengaji Quran.
    Saya selalu berdoa, meminta Allah kekal saya bersama kak Izan sehingga selesai umrah. Namun saya hanya merancang, Allah juga menentukan.
    Di Mekah, kak Ijan menginap di Hijazz manakala saya di Abeer Garden. Selepas berpisah ketika awal perjalanan ke Mekah(bas berasingan) kelibat kak Ijan tidak lagi saya nampak... :-(
    Teman sebilik yang kekal ialah kak Ani Chee dan kak Ju. Seorang lagi ahli baru ialah kak Saini(kakak ini tidak 'berkawan' dengan kami kerana dia ada 'cik abang'(lain bilik)). Kami menerima antara kami seadanya.
    Kak Ju  pendiam(saya juga tidak ada banyak cerita), kak Ani yang pantas dalam segala hal termasuk ketika bersesak di lift dan waktu makan(sedang saya tetap dengan aksi slow motion) telah menyebabkan hubungan kami 'berjarak'. 
    Saya berfikir ketika itu, alangkah baiknya jika disediakan mutawif wanita supaya kami tidak segan untuk merujuk hal berkaitan ibadah umrah. Namun 'hadiah' yang suami bekalkan berupa mp3 berisi panduan doa tawaf dan saie sedikit melegakan.

    Alhamdulilah, selesai umrah pertama. Saya lega dan terasa hendak memberi penghargaan kepada diri kerana berjaya kekalkan kedudukan di belakang mutawif serta mendengar dengan jelas doa dalam bahasa Arab semasa tawaf dan saie. 
    Saya sempat berpesan kepada kak Ju dan kak Ani, besok jangan jauh daripada saya kerana kedudukan saya adalah dibelakang mutawif. Kak Ju lekas berterima kasih kerana dia tidak perlu bawa buku doa dan kak Ani pula saudara baru yang tidak fasih membaca Arab atau rumi.
    Kebergantungan saya pada 'nasib baik' tidak lama. Semasa tawaf, langkah Ustaz Mahmood sukar diturut rapat kerana rombongan orang Arab/Turki yang kerap merempuh kumpulan kami. Akhirnya kami bertiga terpisah jauh daripada mutawif.
    Dan saya, satu-satunya orang yang membawa buku doa wajiblah membacakan kuat-kuat doa dalam bahasa Melayu untuk dua kawan sebilik saya itu. Oh tuhan, tiba-tiba saya memangku tugas mutawif. Betapa takutnya saya, sehingga beberapa kali saya berhenti dan berdoa.
    "Ya Allah, bantulah aku Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah. Aku hamba yang tidak tahu apa-apa Ya Allah. Pinjamkan lah pengetahuan-Mu Ya Allah untuk membimbing kak Ani mualaf dan kak Ju yang rabun ini Ya Allah".
    Semasa dalam tawaf dan saie, saya berdoa dan menangis bersungguh-sungguh. Saya takut benar-benar kerana jika saya salah maka tingkah saya turut melibatkan dua insan lain. Saya tiada pilihan melainkan merujuk kepada buku panduan umrah yang saya bawa dan berdoa dengan lebih teliti kepada kakak berdua itu.
     Alhamdulilah, dengan izin Allah kami berjaya juga akhirnya menyempurnakan umrah kedua. Tetapi hati saya merasa tidak puas hati dengan mutawif yang dirasakan tidak prihatin dengan 'masalah tidak ketahuan' kami ini. Saya mahu suarakan kebimbangan!
    Ustaz Mahmood saya temui ketika kami bertolak ke tanah halal untuk melakukan niat di miqat. Meskipun jawapan beliau ringkas namun membuat saya berfikir dan mula belajar berzikir untuk mententeram kan hati yang berkocak. 
    Katanya, " kakak minta apa yang kakak mahu namun Allah memberi apa yang kakak perlu. Jangan selalu terus jadi pengikut, masyarakat juga perlu pemimpin".
    Aduh, jawapan ringkasnya seperti menembak tangkai hati saya. Saya sedang berpuasa, saya berkata dalam hati. Saya amat tercabar dengan jawapan ustaz ini, tetapi saya duduk seketika dan beristighfar memohon keampunan tuhan.
    Saya katakan kepada kak Ju dan kak Ani, bagaimana?...Mereka jawab, aida baca doa...kami aminkan. Rasa mahu menangis saya mendengarnya. Kontras benar dengan apa yang saya mahu...sob3x.
    Lalu, ketika matahari sedang berada di ubun-ubun, kami bertiga melangkah menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah kali ketiga. Tiada lagi bergantung kepada manusia, namun hanya kepada Allah Yang Maha Esa.
    

Kerana Allah kami bertemu. InsyAllah,  ada rezeki kami boleh bertemu lagi dalam keadaan yang lebih baik. Ameen.
   (Labbaikallahumma Labbaik, Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik, Innal Hamda Wan-Ni'mata Laka Wal Mulk, Laa Syarika Lak)  "Ya Allah, aku sambut panggilan Engkau, aku sambut panggilan Engkau, tiada sekutu bagi-Mu, sesuangguhnya pujian, kenikmatan dan juga kekuasaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu".






     






    
    

   










Kota Tujuan.

''TETAMU ALLAH, tetamu Rasullulah...kita sedang menghampiri Kota Madinah Al Munawarrah," sayup-sayup suara mutawif yang mengenalkan dirinya Ustaz Mahmood (warga negara Indonesia) mengejut lena saya.
    Alhamdulillahi rabbil alamin...insan kerdil ini mengucap syukur tidak terhingga. Akhirnya kami sampai jua ke kota tujuan.
    Pada titik pertama pengalaman ini, baru terasa pengalaman jerih yang baru berlalu amat kecil berbanding nikmatnya perasaan yang sangat teruja untuk berziarah ke makam Rasul.

Dipimpin mutawiff, kami berdoa;

(Ertinya)''Ya Tuhanku, sesungguhnya tanah haram ini adalah tempat nabi Engkau Muhammad s.a.w dan Engkau telah menjadikan ia tanah haram menerusi kenyataan lisan nabi Engkau s.a.w, maka aku pohonkan dengan kemuliaanya, jadikanlah dia sebagai perisai diriku daripada api neraka dan keamanan daripada perhitungan yang tidak baik pada hari kiamat''


    Ya Rasulullah... saat mengutus selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad s.a.w beserta keluarga dan para sahabat baginda, air mata tidak tertahan. Saat itu baru terasa perasaan yang terlalu merindui lelaki agung yang sentiasa khuatir dengan keimanan umatnya dan berkorban jiwa dan raga demi agama suci ini.

    Info Madinah(sumber Wikipedia):

Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepada Madinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah (Kota yang bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud "bandar/kota".
    Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w..
    Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan oleh Khalifah Al Walid ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Ummaiyyah.
    Masjid pertama yang dibina umat Islam juga terletak di Madinah iaitu Masjid Quba.