Saya, kak Noraini Chee dan kak Izan. |
ALHAMDULILAHI RABBIL ALAMIN, saya lega dan bersyukur kerana bertemu kak Izan yang telah berpengalaman mengerjakan ibadah haji sebelum ini. Bukan tidak gembira dengan dua lagi rakan sebilik iaitu kak Ani(Chee) dan kak Ju tetapi mereka juga mengaku perlukan orang seperti kak hajah ini.
Daripada kak Izan ini saya banyak belajar tentang kepentingan solat-solat sunat selain fardhu. Lega sangat-sangat, sehinggakan saya sentiasa senyum padanya walaupun ketika dia sedang mengaji Quran.
Saya selalu berdoa, meminta Allah kekal saya bersama kak Izan sehingga selesai umrah. Namun saya hanya merancang, Allah juga menentukan.
Di Mekah, kak Ijan menginap di Hijazz manakala saya di Abeer Garden. Selepas berpisah ketika awal perjalanan ke Mekah(bas berasingan) kelibat kak Ijan tidak lagi saya nampak... :-(
Teman sebilik yang kekal ialah kak Ani Chee dan kak Ju. Seorang lagi ahli baru ialah kak Saini(kakak ini tidak 'berkawan' dengan kami kerana dia ada 'cik abang'(lain bilik)). Kami menerima antara kami seadanya.
Kak Ju pendiam(saya juga tidak ada banyak cerita), kak Ani yang pantas dalam segala hal termasuk ketika bersesak di lift dan waktu makan(sedang saya tetap dengan aksi slow motion) telah menyebabkan hubungan kami 'berjarak'.
Saya berfikir ketika itu, alangkah baiknya jika disediakan mutawif wanita supaya kami tidak segan untuk merujuk hal berkaitan ibadah umrah. Namun 'hadiah' yang suami bekalkan berupa mp3 berisi panduan doa tawaf dan saie sedikit melegakan.
Alhamdulilah, selesai umrah pertama. Saya lega dan terasa hendak memberi penghargaan kepada diri kerana berjaya kekalkan kedudukan di belakang mutawif serta mendengar dengan jelas doa dalam bahasa Arab semasa tawaf dan saie.
Saya sempat berpesan kepada kak Ju dan kak Ani, besok jangan jauh daripada saya kerana kedudukan saya adalah dibelakang mutawif. Kak Ju lekas berterima kasih kerana dia tidak perlu bawa buku doa dan kak Ani pula saudara baru yang tidak fasih membaca Arab atau rumi.
Kebergantungan saya pada 'nasib baik' tidak lama. Semasa tawaf, langkah Ustaz Mahmood sukar diturut rapat kerana rombongan orang Arab/Turki yang kerap merempuh kumpulan kami. Akhirnya kami bertiga terpisah jauh daripada mutawif.
Dan saya, satu-satunya orang yang membawa buku doa wajiblah membacakan kuat-kuat doa dalam bahasa Melayu untuk dua kawan sebilik saya itu. Oh tuhan, tiba-tiba saya memangku tugas mutawif. Betapa takutnya saya, sehingga beberapa kali saya berhenti dan berdoa.
"Ya Allah, bantulah aku Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah. Aku hamba yang tidak tahu apa-apa Ya Allah. Pinjamkan lah pengetahuan-Mu Ya Allah untuk membimbing kak Ani mualaf dan kak Ju yang rabun ini Ya Allah".
Semasa dalam tawaf dan saie, saya berdoa dan menangis bersungguh-sungguh. Saya takut benar-benar kerana jika saya salah maka tingkah saya turut melibatkan dua insan lain. Saya tiada pilihan melainkan merujuk kepada buku panduan umrah yang saya bawa dan berdoa dengan lebih teliti kepada kakak berdua itu.
Alhamdulilah, dengan izin Allah kami berjaya juga akhirnya menyempurnakan umrah kedua. Tetapi hati saya merasa tidak puas hati dengan mutawif yang dirasakan tidak prihatin dengan 'masalah tidak ketahuan' kami ini. Saya mahu suarakan kebimbangan!
Ustaz Mahmood saya temui ketika kami bertolak ke tanah halal untuk melakukan niat di miqat. Meskipun jawapan beliau ringkas namun membuat saya berfikir dan mula belajar berzikir untuk mententeram kan hati yang berkocak.
Katanya, " kakak minta apa yang kakak mahu namun Allah memberi apa yang kakak perlu. Jangan selalu terus jadi pengikut, masyarakat juga perlu pemimpin".
Aduh, jawapan ringkasnya seperti menembak tangkai hati saya. Saya sedang berpuasa, saya berkata dalam hati. Saya amat tercabar dengan jawapan ustaz ini, tetapi saya duduk seketika dan beristighfar memohon keampunan tuhan.
Saya katakan kepada kak Ju dan kak Ani, bagaimana?...Mereka jawab, aida baca doa...kami aminkan. Rasa mahu menangis saya mendengarnya. Kontras benar dengan apa yang saya mahu...sob3x.
Lalu, ketika matahari sedang berada di ubun-ubun, kami bertiga melangkah menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah kali ketiga. Tiada lagi bergantung kepada manusia, namun hanya kepada Allah Yang Maha Esa.
Kerana Allah kami bertemu. InsyAllah, ada rezeki kami boleh bertemu lagi dalam keadaan yang lebih baik. Ameen. |
(Labbaikallahumma Labbaik, Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik, Innal Hamda Wan-Ni'mata Laka Wal Mulk, Laa Syarika Lak) "Ya Allah, aku sambut panggilan Engkau, aku sambut panggilan Engkau, tiada sekutu bagi-Mu, sesuangguhnya pujian, kenikmatan dan juga kekuasaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu".
No comments:
Post a Comment